Monday, July 30, 2018

Book Chapter : 'Leading Educational Organization


-->
-->
--> Sazali, Y. (2018). Memimpin organisasi pendidikan. In Noor Miza, A. R., Sazali, Y. & Shaari, H. (Eds.), Pendidik dan Pendidikan : Isu dan pemikiran alaf baru. Penang : Institute of Teacher Education Tuanku Bainun Campus



MEMIMPIN ORGANISASI PENDIDIKAN

Institusi pendidikan merupakan suatu unsur penting dalam membina sesebuah Negara dan masyarakat yang lebih dinamik dan cemerlang. Sejarah membuktikan kecemerlangan institusi pendidikan dalam sesebuah Negara mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan kemajuan ekonomi, politik, sosial, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Negara tersebut. Justeru kepentingan pendidikan tidak boleh dikesampingkan demi kemakmuran  sesebuah Negara.

Terdapat tiga unsur penting dalam institusi pendidikan yang saling mempengaruhi antara satu sama lain iaitu tenaga pengajar, pelajar dan prasarana atau kemudahan yang terdapat dalam institusi tersebut. Tenaga pengajar (guru, pensyarah atau jurulatih) yang baik selalunya memberi pendidikan yang baik kepada pelajarnya. Pelajar yang bersedia untuk belajar sudah pasti menerima pendidikan yang terbaik dari tenaga pengajar yang hebat. Infrastruktur yang kondusif akan meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pemelajaran.

Ketiga-tiga unsur institusi pendidikan tadi tidak boleh berfungsi dengan baik sekiranya ia tidak dipimpin dengan pemimpin yang berketerampilan dan berkemahiran. Oleh kerana itu pemilihan individu untuk meneraju sesebuah organisasi hendaklah diteliti supaya mereka dapat memimpin organisasinya bagi mencapai matlamat organisasi khususnya dan Negara amnya.




Terdapat banyak kajian berkaitan dengan teori dan gaya kepimpinan dalam pelbagai bidang seperti politik, perniagaan, sosial, korporat, sukan, ketenteraan, kepolisan, pendidikan dan sebagainya. Kepimpinan dalam bidang-bidang tersebut mempunyai kesamaan dan juga perbezaan. Namun begitu unsur penting kepimpinan yang terdapat dalam semua bidang tersebut adalah  konsep ‘pengaruh’ iaitu bagaimana aliran pengaruh ini turun dari pemimpin kepada pengikut atau orang bawahannya. Konsep ‘mempengaruhi’ sangat penting diketahui dan dikuasai oleh seseorang pemimpin kerana ia akan menentukan keberkesanan organisasi atau institusi yang dipimpinnya.


Terdapat lima sumber kuasa yang mesti diketahui dan diamalkan oleh pemimpin bagi mempengaruhi subordinatnya iaitu kuasa pakar, rujukan, sah, ganjaran dan paksaan. Kuasa pakar dan rujukan merupakan dua sumber kuasa yang sangat mempengaruhi subordinat. Oleh kerana itu, pemimpin sudah semestinya patut menimba ilmu sebanyak mungkin sehingga ia menjadi ‘pakar’ dalam bidangnya.
Sumber Kuasa




 Dalam konteks Institut Pendidikan Guru (IPG), ilmu pentadbiran organisasi dan ilmu fungsional adalah dua cabang ilmu yang harus dikuasai. Undang-undang, akta, pekeliling, surat pekeliling, peraturan, surat siaran dan sebagainya berkaitan dengan pentadbiran pejabat dan pengurusan kewangan hendaklah difahami dan dirujuk selalu sebelum membuat keputusan.

Ilmu fungsional IPG pula adalah berkaitan dengan penguasaan kepada kandungan program-program yang dilaksana oleh IPG seperti latihan, penyelidikan, penulisan, penerbitan dan konsultasi. Cabang-cabang ilmu latihan yang rencam daripada pembinaan Ringkasan Maklumat Kursus, modul, portfolio, item-item penilaian dan sebagainya perlu dihayati dan dikuasai oleh pemimpin IPG.

Begitu juga dengan fungsi-fungsi pengurusan lain seperti pengurusan Sistem Pengurusan ISO 9001, MQA, Penarafan, SSR, dan lain-lain inisiatif  perlu dikuasai oleh pemimpin supaya ia mahir dan berkemampuan untuk menjelaskan kesemua isu, cabaran dan tindakan yang diambil dalam program-program tersebut. Penguasaan kedua-dua cabang ilmu ini oleh pemimpin dilihat oleh subordinat sebagai seorang pemimpin yang mempunyai wibawa. Subordinat lebih yakin dan terpengaruh sehingga memberi kesan terhadap kerja-kerja profesional mereka.

Pada masa yang sama seseorang pemimpin mestilah sentiasa mempamerkan watak dan tingkah laku yang membuat subordinat tertarik dan menghormatinya. Watak unggul seperti sentiasa berpakaian kemas, serius dalam tugas, sering berbual mengenai idea-idea besar, menjadi teladan perkara-perkara yang diwar-warkannya,  menghormati orang lain dan sebagainya membuat subordinat tertarik dengannya. Segala tindakan yang diambil adalah adil dan kelihatan adil sehingga subordinat dapat merasakan keputusan yang dibuat adalah tepat dan adil. Tingkah laku yang melambangkan keilmuan dan kejujuran membuat subordinat tertarik dan terus bermotivasi untuk terus memberi sumbangan yang terbaik.

Sebaliknya pemimpin yang bijak jarang menggunakan sumber kuasa sah, ganjaran dan paksaan kerana ketiga-tiga kuasa ini kadang kala memberi kesan negatif kepada sebahagian subordinat. Sungguhpun pemberian ganjaran kepada seseorang itu membuatnya gembira namun ia mungkin menimbulkan ketidakpuasan bagi sebahagian lain jika ia tidak ditangani dengan berkhemah. Begitu juga sekiranya pemimpin selalu memaksa subordinat untuk melakukan sesuatu kerja juga akan menimbulkan konflik dalam organisasi tersebut.

Selaku pemimpin organisasi, terutamanya organisasi atau institusi ‘rasmi’, pemimpin seharusnya memahami dan menghayati visi dan misi organisasi yang dipimpinnya. Dengan menghayati visi dan misi tersebut beliau boleh merangka pelbagai strategi bagi menggerakkan subordinatnya. Disamping itu pemimpin tersebut mestilah mengetahui peranannya kenapa ia diletakkan di organisasi itu. Berikut ialah visi dan misi IPG:

            Visi IPG :

              menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan guru

            Misi IPG :

melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia’


Visi dan misi ini hendaklah diuar-uarkan selalu kepada semua warga IPG terutamanya para pensyarahnya kerana merekalah pemegang watak utama yang mampu mencapai hasrat visi dan misi IPG. Mengkomunikasikan visi dan misi kepada semua warga IPG bukan sahaja melalui tulisan, poster, mural namun yang lebih penting ialah melalui komunikasi lisan sama ada dalam perhimpunan, taklimat atau mesyuarat.

Visi IPG yang ingin menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan guru hendaklah diterjemahkan dalam bentuk pemahaman, strategi dan tindakan yang perlu diambil oleh semua staf terutamanya para pensyarah. Semua pensyarah perlu faham makna ‘peneraju’ dan bagaimana ia perlu direalisasikan.


....
Untuk seterusnya, sila dapatkan buku tersebut

......

No comments: